Tokoh Motivasi Unggul - UEL







BIODATA RINGKAS DAN PENDIDIKAN 

Ustaz Ebit Lew merupakan seorang usahawan dan pendakwah Islam di Malaysia yang berbangsa Cina. Beliau dilahirkan pada 21 Disember 1984 di Muadzam Shah, Pahang. Nama beliau sebelum memeluk islam ialah Lew Yun Pau. Ustaz Ebit Lew memeluk agama Islam pada usia 12 tahun. 

Beliau merupakan graduan Universiti Putra Malaysia. Beliau juga pernah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaaan Bukit Ridan, Sekolah Menengah Kebangsaaan Muadzam Shah, Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru dan Sekolah Menengah Kebangsaaan Abdul Rahman Talib.


KERJAYA PERNIAGAAN

Ustaz Ebit Lew merupakan seorang usahawan berjaya dengan pengenalan beberapa produk perniagaannya. Beliau mempunyai syarikat latihan dan motivasi bernama Transform Training & Consultancy dengan produk yang terkenal iaitu seminar motivasi kekeluargaan Keluarga Sunnah. Tambahan lagi, beliau juga memiliki jaringan pasar raya Elewsmart yang mula beroperasi di Bandar Baru Bangi sebagai cawangan pertama. Selain itu, beliau juga mengusahakan kafe restoran di bawah jenama Paramount Coffee House yang beroperasi di tiga cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi, Putrajaya dan Shah Alam. Beliau juga mengusahakan produk pakaian di bawah jenama Elew's Design.

KEBAJIKAN

Ustaz Ebit Lew banyak menjalankan aktiviti-aktiviti sumbangan dan kebajikan di seluruh negara. Beliau membantu masyarakat fakir miskin, golongan terpinggir, golongan remaja, masyarakat yang ditimpa bencana serta golongan LGBTQ+.

Semasa pendemik Covid-19 yang melanda dunia pada akhir 2019, Ebit Lew telah menyumbang peralatan perubatan yang penting untuk kegunaan para pegawai perubatan di Sabah. Gelombang Covid-19 pada masa itu sangat menjejaskan negeri tersebut sehingga beliau menempah sebuah kapal terbang Raya Airlines untuk menghantar semua kelengkapan perubatan. Beliau juga menghantar bekalan makanan sebanyak 10 tan daripada pasar raya miliknya, Elewsmart untuk penduduk di Sabah. 

Selain itu, beliau juga telah menghantar sumbangan sebanyak 200 kilogram daging lembu, 500 kilogram buah-buahan serta sayuran terhadap pihak Zoo Negara yang terjejas dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 yang berlaku. 

Beliau juga bukan sahaja membantu rakyat susah di Malaysia, namun juga di negara luar seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain lagi. Kesantunan beliau dalam melakukan kebajikan membuatkan masyarakat mengenalinya sebagai pendakwah yang berhati mulia. Beliau juga banyak memberikan motivasi kepada semua agar berbuat baik sesama insan. Jelas bahawa, keperibadian yang ditonjolkan oleh beliau patut kita contohi dan teladani supaya kita dapat membentuk akhlak yang mulia.


 

Ulasan