Kerabu Beronok Makanan Tradisi Langkawi

Beronok atau nama saintifiknya, Acaudina molpadioides merupakan sejenis hidupan laut yang mirip seperti gamat. Ia hidup di kawasan pantai yang berselut sejuk. Warnanya adalah coklat kehitaman (tua) dan merah jambu (muda) serta ciri fizikalnya kenyal dan elastik seakan-akan isi kelapa, rasanya masin air laut. Beronok tidak boleh didedahkan dengan haba kerana ia akan menjadi cecair. Apabila dicairkan, beronok akan meninggalkan kesan seperti air laut yang keruh. Dalam keadaan cecair panas pua, beronok akan membentuk seperti jeli. Namun jika dibiarkan terlalu lama, jeli itu akan hilang dan terlarut di dalam air masin dan akan menyebabkan bau hanyir. Beronok memiliki banyak khasiat seperti gamat. Antaranya ialah dapat digunakan sebagai ubat luka ringan, sakit sendi, asma, radang paru-paru, tekanan darah tinggi, dan kencing manis. 

Selain itu, beronok juga boleh dimakan mentah dan dijadikan kerabu. Di Langkawi, kerabu beronok telah menjadi makanan tradisi penduduk disitu. Kerabu beronok selalu dihidangkan ketika majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan mahupun kenduri kesyukuran. Ini kerana, kerabu beronok lebih enak jika dimakan bersama nasi putih yang panas beserta lauk pauk. 

                               

Proses untuk menyediakan kerabu beronok sangatlah mudah iaitu dengan memotong pangkal kepala dan ekor untuk membuang isi perutnya. Kemudian, ia perlu dihiris nipis agar senang untuk dimakan. Selepas siap dihiris nipis, beronok perlu dibersihkan terlebih dahulu sebanyak dua hingga tiga kali sebelum ditapis bagi mengelakkan ia berair.

Bahan asas dalam kerabu beronok adalah lebih kurang sama dengan cara membuat kerabu yang lain. Antaranya ialah sambal, kelapa, bawang, cili, lengkuas dan kerisik serta daun gajus yang telah siap diracik. Setelah siap, bahan-bahan itu semua digaul bersama beronok yang siap dibersihkan.

Ulasan