SENJATA MELAYU ZAMAN DAHULU

SENJATA MELAYU

Perkataan senjata berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu “sajjata” yang bermaksud kesiapan. Senjata merupakan alat yang digunakan untuk berperang atau berkelahi. Ringkasnya, senjata Melayu merupakan suatu alat atau peralatan yang digunakan oleh orang melayu untuk mempertahankan diri daripada musuh atau digunakan dalam pekerjaan seharian. Senjata Melayu zaman dahulu terbahagi kepada dua jenis, iaitu senjata purba dan senjata api. 

SENJATA PURBA

Senjata purba merupakan sejenis senjata yang diperbuat dari bahan-bahan asas yang keras seperti kayu dan batu yang tajam. Senjata ini biasanya ditikam ditubuh musuh atau dibuang ke arah musuh dengan tujuan mencedera atau membunuhnya. Selepas zaman besi, penggunaan besi digunakan secara meluas untuk menghasilkan senjata jenis purba ini. Terdapat pelbagai jenis senjata purba yang digunakan oleh masyarakat dalam prosa yang dikaji. Antaranya ialah curik, beliung kalang, keris, tombak, panah, dan lembing.

1. CURIK

Curik adalah senjata lama pisau atau parang. Curik adalah sejenis senjata yang kurang popular dan jarang didengari oleh masyarakat sekarang. Namun, curik merupakan senjata yang kini digelar Pisau.pisau adalah senjata pendek yang dianggap sebagai senjata azimat. Besi-besi terpilih yang dipercayai mempunyai hikmah dan keramah akan digunakan untuk menghasilkan senjata-senjata pendek seperti ini. Senjata pisau sebahagian besarnya digunakan untuk mendapat manfaat rahsianya bagi si pemakai sebagai senjata sulit. Ianya dipakai secara sembunyi seperti di dalam beg, saku, lipatan kain, dan sebagainya.  

2. BELIUNG KALANG

Beliung ialah sejenis alat pertukangan kayu yang digunakan untuk membentuk, menarah dan melincinkan kayu potong kasar dalam pertukangan kayu yang menggunakan tangan. Beliung adalah sejenis kapak yang matanya melintang. Kebiasaannya, pengguna akan berdiri mengangkang kayu ataupun papan yang hendak ditarah ataupun dilincinkan dan mengayun beliung ke bawah ke arah kaki mereka dan menyerpih sedikit demi sedikit sambil bergerak ke belakang sedikit demi sedikit. Beliung juga boleh digunakan untuk kerja-kerja lain selain memotong kayu. Hujung kepala beliung diorentasikan seperti kepala cangkul dan bukan seperti sebilah kapak. Beliung berasah dibuat menggunakan batu seperti amfibolit, basalt atau jadeite. Beliung moden pula diperbuat daripada besi waja dengan pemegangnya yang diperbuat daripada kayu. Terdapat pelbagai jenis beliung, antaranya ialah beliung tukang kayu, beliung kereta api, dan beliung serimala kapal. Setiap jenis beliung ini memiliki bentuk dan fungsinya yang tersendiri.

3. KERIS

Keris merupakan sejenis senjata bermata dua yang tajam; bilahnya lurus dan berkelok-kelok.  Keris adalah pusaka bangsa Melayu dan merupakan sejenis senjata warisan budaya orang Melayu yang berdaulat. Walaupun bangsa Melayu menghasilkan banyak senjata lain di sepanjang perjalanan tamadunnya yang hebat, namun senjata yang paling signifikan dalam perjuangan Melayu sehingga kini adalah keris. Ini kerana keris mempunyai rahsia yang istimewa dan keunikannya yang tersendiri. Orang Melayu zaman dahulu khususnya Raja-Raja yang memerintah, tentu sekali berkehendakkan kekuatan, kehebatan, dan kemuliaan supaya digeruni oleh musuh. Bagi orang-orang Melayu pada zaman itu, khususnya orang lelaki, jika tidak berkeris di pinggang dianggap orang yang paling rendah martabatnya di sisi masyarakat. Antara sebab keris menjadi lambang kemegahan dan kekuatan kepada orang Melayu adalah kerana ianya diperbuat daripada besi-besi yang terpilih dan mempunyai petua-petua yang tertentu. Pembuatan keris bermula dengan proses menempa besi sehinggalah ke proses menyiapkan pakaiannya. Pakaian di sini bermaksud hulu dan sarungnya.

4. TOMBAK

Tombak merupakan sejenis senjata seperti lembing yang bermata dan bergagang panjang. Ia terdiri daripada tongkat sebagai pegangan di mana hujungnya terdapat mata atau kepala tombak yang ditajamkan dan kadangkalanya diperkeras dengan bahan lain. Ia lazim digunakan untuk berburu dan berperang. Bersamaan dengan kapak, tombak adalah perkakas pertama yang dibuat manusia dan sejalan dengan perkembangan peradaban. Mata tombak dan kapak berupa tulang atau batu yang dihaluskan, diganti menjadi logam yang lebih kuat dan tahan lama.

5. PANAH

Panah merupakan sejenis senjata yang diperbuat daripada kayu khususnya buluh, yang kedua-dua hujungnya direntangi dengan tali dan boleh dilenturkan. Tali yang dilenturkan adalah untuk melancarkan senjata yang tajam. Senjata ini juga merupakan senjata yang memainkan peranan penting dalam peperangan. Rekaan awal senjata panah ini wujud dalam tamadun China purba lalu menyebabkan perubahan besar dalam peranan peluru senjata. Senjata panah yang biasa telah lama dijadikan senjata khusus yang memerlukan banyak latihan penggunaan, kekuatan fizikal dan kepakaran untuk mengendalikan senjata ini dengan tahap kecekapan yang mencukupi. Dalam banyak budaya, pemanah dianggap sebagai satu kasta yang berasingan dan dianggap hebat meskipun ahli kumpulan ini datangnya daripada kelas pertengahan. Hal ini disebabkan kemahiran memanah mereka yang dilatih dan diterapkan sejak usia kecil.

6. LEMBING

Lembing ialah sejenis senjata pelancaran berhulu panjang. Senjata lembing amat popular bagi manusia. Pada mulanya, senjata lembing digunakan untuk memburu, membunuh sesama manusia dan mempertahankan diri. Senjata lembing ditempa daripada besi-besi yang terpilih seperti senjata-senjata yang lain. Lembing diibaratkan sebagai senjata berpandu pada zaman dahulu dan boleh mengenakan sasarannya walaupun pada jarak jauh, tambahan pula jika senjata itu mempunyai kuasa gerak dengan keramah yang ada padanya, dengan keramah itu, musuh-musuh tidak dapat lari dan melepaskan diri. 

SENJATA API

Senjata api merupakan sejenis senjata yang menggunakan ubat peledak. Antaranya ialah senapang, meriam dan bom. Senjata api boleh dilancarkan dari jarak jauh dan mula berkembang selepas penemuan serbuk letupan.

1. JAMUNG

Jamung beerti andang atau suluh. Jamung juga dikenali sebagai obor. Obor merupakan salah satu senjata api yang tidak mengandungi ubat peledak atau serbuk letupan. Masyarakat Melayu tradisional menyalakan obor untuk menerangi sesuatu kawasan. Obor kebiasaannya dinyalakan pada pokok-pokok. Berdasarkan prosa yang dikaji, pengkaji mengenal pasti penggunaan obor yang disebut jamung oleh masyarakat Melayu tradisional.


Ulasan