BIODATA RINGKAS
Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kota Tinggi, Johor. Beliau merupakan seorang Sasterawan Negara. Beliau juga memiliki nama pena yang dikenali sebagai Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini. Beliau juga merupakan seorang penyair, penulis dalam pelbagai genre termasuk cerpen dan drama serta terkenal di Malaysia. Usman Awang berpendidikan sekolah rendah sahaja kerana kemiskinan keluarga dan beliau pernah menjadi buruh paksa Jepun dan anggota polis pada zaman British. Beliau kembali ke Rahmatullah pada 29 November 2001.
PENGALAMAN, PEMIKIRAN, DAN SIKAP USMAN AWANG SEBAGAI PENGARANG
Kemunculan Usman Awang sebagai seorang penulis dalam tahun 1948, menempatkannya dalam barisan penulis Melayu yang sedang bersuara tentang masalah bangsa. Sebagai sasterawan, Usman Awang telah menghasilkan karya-karya yang bertemakan kehidupan rakyat dengan pelbagai peristiwa yang dilalui oleh mereka. Usman menjadi pemerhati dan pencatat dari zaman darurat yang amat menyulitkan dan zaman penjajah yang membelenggu kehidupan hingga ke zaman merdeka, dan pelbagai isu pembangunan.
Melalui puisi, cerpen, drama, novel, kertas kerja, dan ceramahnya, kita menemui Usman sebagai pemikir yang dididik oleh alam dan pengalaman. Pandangan dan pendapatnya terhadap kehidupan bermula dari jiwanya yang perasa. Kehidupan sebagai anak nelayan menjadikan beliau akrab dengan laut dan pantai, lalu menjadi perenung dan pencinta alam semula jadi. Beliau telah lama mengenal badai dan gelombang, serta kemiskinan yang menghimpit keluarganya.
Beliau giat membaca dan mengagumi warisan sastera bangsa. Antara buku yang digemarinya ialah Sejarah Melayu yang mempesonakan dengan lenggang-lenggok bahasa dan cerita yang berisi kiasan. Oleh yang demikian, beliau menjadi semakin akrab dan sayang akan keindahan bahasa ibunda, di samping bertambah marah akan sistem feudal yang memperhambakan rakyat. Justeru, Usman menulis sajaknya yang pertama yang berjudul "Selat Melaka". Sajak ini jelas memberikan gambaran tentang seorang perenung yang mendapat ilhamnya dari alam yang banyak menyimpan kesan-kesan masa lalu.
Bermula dari situ maka muncullah beliau sebagai seorang penulis muda di tengah masyarakat yang sedang bangkit dengan kesedaran politik dan budaya. Beliau turut menyatakan kegelisahan bangsanya yang sedang mencari identit di antara serpihan keruntuhan akibat dijajah beratus-ratus tahun lamanya. Maka, sedarlah bangsa Melayu bahawa bangsa barat itu bukanlah dewa yang tidak dapat ditewaskan.
Sebagai penyair, Usman diterima dengan cukup baik oleh masyarakat pembaca dan peminat sastera. Beliau bukan sahaja dikenali di kalangan masyarakat Melayu, malah jika dibandingkan dengan pengarang-pengarang Melayu yang lain, beliau mendapat perhatian yang lebih luas di kalangan masyarakat Tionghoa.
Setiap penyair mestilah mempunyai tujuan dalam menghasilkan karyanya. Tujuan itu mestilah sesuai dengan kehendak zamannya. Dalam perkataan Usman, " Yang paling penting dalam hasil sebuah sajak bukanlah semata-mata keindahan seninya, tetapi juga tujuan-tujuan seni itu. Tujuan yang sesuai dengan zaman dan keadaannya". Usman sering menyarankan, "Sekarang adalah zaman perjuangan, zaman bangsa kita sedang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan tanah airnya, maka dengan demikian saya tidak ragu-ragu lagi mempergunakan sastera untuk tujuan kemerdekaan tanah air kita yang tercinta".
Usman telah berjaya dalam usahanya menempatkan sajak di hati pembaca. Kejayaannya boleh dianggap sebagai kejayaan berkomunikasi dengan pembaca dalam bentuk pengucapan yang diterima dan difahami oleh mereka. Kejayaan ini merupakan satu sumbangan besar dalam perkembangan puisi Melayu moden kerana dengan itu masyarakat mulai menerima dan menggemari sajak yang sebelum itu kurang mendapat perhatian. Dengan kejayaan Usman, kesusasteraan Melayu berkembang dan mencapai tarafnya seperti hari ini.
Ulasan
Catat Ulasan