KRITIKAN MASYARAKAT TERHADAP KEWIBAWAAN AGENSI DAN PIHAK KERAJAAN MENANGANI ISU BANJIR 2021

Bencana banjir yang melanda semenanjung Malaysia mula berlaku pada Disember 2021. Peristiwa luar jangka ini berlaku disebabkan susulan hujan lebat yang berterusan khususnya di kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur. Banjir yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia ini menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan. Kejadian banjir ini juga telah merosakkan banyak rumah sehingga penghuninya mengalami kerugian yang besar. Banjir di kawasan Lembah Klang disifatkan sebagai banjir yang terburuk dalam sejarah moden. 

Banjir ini mencetuskan darurat kemanusiaan yang besar yang dipikul melalui kerjasama daripada pihak kerajaan dan orang awam. Walau bagaimanapun, tindakan kerajaan yang dilihat sambilewa, berat sebelah dan narsisistik mendatangkan kritikan pelbagai pihak khususnya masyarakat. Respons yang lambat serta ketidakcekapan dalam mengendalikan situasi yang berlaku ini menimbulkan pelbagai masalah. Sebahagian besar masyarakat mempertikaikan isu pengurusan kerajaan Malaysia dalam menangani masalah bencana banjir.



Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, menerima kritikan yang hebat daripada masyarakat terhadap tindakannya dalam menguruskan isu banjir ini. Sebahagian besar masyarakat mengutarakan kritikan mereka di laman sosial serta meluahkan perasaan marah terhadap kerajaan serta mendedahkan kontroversi yang diterbitkan mereka. Antara kritikan yang diutarakan adalah berkaitan ketiadaan amaran prabanjir, kelewatan kerajaan dalam memberikan bantuan, sikap sambilewa dalam pengurusan bencana banjir dan tindakan beberapa agensi kerajaan yang mempergunakan situasi yang berlaku ini demi kepentingan politik peribadi. 

Sejurus selepas banjir melanda, ramai pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan oleh pihak meteorologi negara dan antarabangsa. Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) dikritik hebat kerana tidak menggunapakai mesej pukal negara dalam mengutarakan hal berkaitan isu banjir yang berlaku. Hal ini menyebabkan masyarakat Malaysia menyeru pihak kerajaan dan agensi yang terlibat agar memperkukuhkan sistem amaran prabanjir.

Selain itu, isu kelewatan dalam memberikan bantuan kepada rakyat yang menjadi mangsa banjir juga telah dipersoal oleh sebahagian besar masyarakat. Kerajaan dikatakan sambilewa dalam menguruskan pascabanjir yang berlaku. Mangsa-mangsa banjir meluahkan kekecewaan mereka terhadap tindakan kerajaan yang gagal memberikan bantuan sehingga mereka terpaksa mengharapkan bantuan daripada orang awam dan pihak-pihak sukarelawan. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diselar pelbagai pihak kerana dilihat mendiamkan diri dalam pengurusan pascabanjir serta mengetepikan amaran-amaran banjir yang dikeluarkan. NADMA juga dikritik kerana dikatakan gagal mengarahkan pihak tentera bagi tujuan bantuan pascabanjir sehingga pihak tentera bertindak mengerahkan bantuan secara sendiri. Namun, pihak NAMDA menafikan perkara tersebut. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob juga tidak menafikan kelemahannya dalam pengurusan banjir di Selangor. Beliau berkata, tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah juga harus memainkan peranan penting. Masalah ini sepatutnya ditangani secara bersama dan bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain.

Tindakan speaker Dewan Rakyat iaitu Tan Sri Azhar Azizan Harun juga menghalang permohonan ahli-ahli parlimen blok pembangkang dan kerajaan untuk berbincang tentang banjir juga telah mendapat kritikan orang ramai. Tindakannya dibantah oleh kedua-dua pihak pemerintah serta pembangkang sehingga sesetengah pihak menyeru agar Azhar diletakkan jawatan. Dalam hal ini, Azhar menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan berlandaskan protokol Dewan Rakyat, di mana para ahli dewan perlu mengusulkan seruan untuk membincangkan suatu perkara kepadanya sekurang-kurangnya sehari sebelum usul dibincangkan. Azhar berkata usul diperlukan bagi membolehkan beliau mengemukakan masalah kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan dijawab oleh menteri serta membolehkan menteri yang berkenaan membuat persiapan bagi menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan. Namun, tiada seorang pun yang menyatakan usul kepadanya berikutan bencana banjir yang berlaku.

Masyarakat juga mengkritik sikap kerajaan serta ahli-ahli politik yang dilihat mempergunakan bencana banjir yang berlaku untuk mempromosikan diri dan kerajaan. Terdapat pihak atau ahli politik yang bersikap tidak sensitif terhadap bencana banjir. Hal ini dikaitkan timbulnya kontroversi-kontroversi yang berkaitan penganjuran majlis-majlis pelancaran bantuan banjir. Perkara ini dikatakan satu pembaziran dan tidak perlu dilakukan. Penganjuran majlis parti baharu atau lebih dikenali sebagai Parti Bangsa Malaysia ini melibatkan sekitar 50 ribu orang daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Masyarakat mengkritik hal ini kerana dikatakan penganjuran majlis yang ini menyebabkan pembaziran di mana wang digunakan untuk mengadakan majlis tersebut seeloknya disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Masyarakat juga mempersoal berkaitan pertelingkahan yang berlaku di peringkat kerajaan negeri Selangor. Satu kontroversi telah dikeluarkan berkenaan jawatan pengerusi MKN peringkat negeri antara Menteri Besar Amirudin Shari dan Noh bin Omar. Isu ini berlaku susulan berlaku persoalan tentang siapa yang memegang jawatan itu ketika kritikan diutarakan terhadap MKN atas masalah-masalah pengurusan pascabanjir. Pada November lalu, Amirudin telah menyerahkan jawatannya sebagai pengerusi MKN Selangor kepada Noh Omar. Akan tetapi, susulan bencana banjir, jawatan itu dikembalikan kepada Amirudin bermula 25 Disember. 

Walau bagaimanapun, isu ini dikritik pelbagai pihak kerana dilihat tidak penting. Tindakan ini menyebabkan masyarakat terus mengkritik akan tanggungjawab mereka dalam memberikan perhatian terhadap isu yang berlaku. Masyarakat terus menyoal bahawa kedua-dua Menteri Besar ini tidak telus dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing sehingga ingin bertukar tangan terhadap jawatan yang dipikul disaat berlakunya krisis banjir. Oleh itu, perkara ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak yang terlibat supaya tidak berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

Tindakan kerajaan dan agensi berkaitan yang sambilewa dan tidak cekap dalam menguruskan isu banjir ini telah menaikkan kemaharan sehingga menimbulkan pelbagai kritikan yang diutarakan di media sosial. Oleh itu, pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menangani masalah bencana banjir yang berlaku di Malaysia ini agar setiap mangsa banjir mendapat perlindungan, bantuan dan kehidupan yang lebih selesa. Akhir kata, semua pihak perlu berganding bahu dan bersatu untuk menyelesaikan krisis banjir yang berlaku.

Ulasan