Kelebihan Menjadi Sukarelawan : Misi Bantuan Banjir Kelantan

Assalamualaikum dan hi semua! Disini saya ingin kongsikan serba sedikit pengalaman saya sebagai sukarelawan banjir sepanjang saya mengikuti KORSISPA di UPM. Saya bukanlah pelajar yang aktif namun, jika ada panggilan untuk menjadi sukarelawan sudah pasti saya tidak menyia-nyiakan peluang tersebut. Bagi saya pengalaman menjadi sukarelawan itu tidak dapat dibeli dengan duit. Jadi, peluang yang ada itu patut direbut agar kita beroleh manfaat daripadanya.

Banyak kelebihan yang kita peroleh jika menjadi sukarelawan. Antaranya dapat menambah ilmu pengetahuan dari aspek budaya dan bahasa. Misalnya, ketika saya mengikuti misi bantuan banjir di Bachok, Kelantan, saya dapat mempelajari dialek-dialek yang diutarakan oleh penduduk-penduduk disitu. Loghat Kelantan sangat unik namun susah untuk difahami. 

Selain itu, dengan menjadi sukarelawan juga kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan. Sejujurnya sudah hampir setahun lebih saya mengikuti KORSISPA di UPM, namun masih belum lagi saya kenal rakan-rakan dengan lebih dekat. Semasa mengikuti misi banjir di Kelantan baru-baru ini, saya berkenalan dan berborak panjang bersama mereka. Dari situ saya lebih mengenali asal usul dan cerita-cerita mereka. Dapatlah juga saya menambah kenalan baru.

Ini saya kongsikan beberapa foto ketika kami menjalankan kerja pembersihan di SK Bakong, Kelantan.



Setelah selesai melakukan kerja pembersihan, kami dihidangkan dengan sedikit jamuan oleh pihak sekolah tersebut. Dapatlah saya merasakan air tangan orang Kelantan. Mereka hidangkan kami nasi panas-panas dengan lauk dan ada juga sambal belacan yang diletakkan budu. MasyaAllah sedap sangat rasanya. Inilah antara kelebihan lain yang saya dapat ketika menjadi sukarelawan, iaitu dapat merasakan makanan hasil air tangan penduduk kampung di negeri tersebut. Walaupun semua penat membersih, namun masing-masing seronok dan gembira kerana dapat mambantu mangsa-mangsa banjir.


Kemudian, kami bergerak ke UMK Kampus Bachok untuk mandi, solat dan berehat seketika. Kami dilayan baik oleh pihak UMK. Mereka siap menyediakan "camp tent" untuk kami semua berehat. Kawasan di sekitar UMK ini sangatlah cantik dan bersih. Sebelum bertolak pulang ke UPM, sempat kami bergambar di hadapan Dewan Besar UMK untuk kenang kenangan.


Akhir kata, inilah salah satu pengalaman yang sangat indah dan bermanfaat yang pernah saya lalui. Terima Kasih kepada semua yang terlibat. Semoga di masa akan datang dapat lagi kita merasai pengalaman menjadi sukarelawan banjir.


Terima kasih KOR SISPA UPM atas segala peluang dan kenangan!



Ulasan