Judul Buku: Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis.
Pengarang: Ungku Maimunah Mohd. Tahir.
Tahun Terbit: 2010
Penerbit: Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Marxisme merupakan pemikiran yang
didasarkan oleh pandangan Karl Marx.
Marx telah menyusun teori-teori yang
berkaitan dengan sistem ekonomi, sistem
sosial dan sistem politik. Marxisme adalah
salah satu bentuk protes Marx terhadap
fahaman kapitalisme. Dimana wujudnya
penindasan yang dilakukan oleh pemodal
ke atas golongan pekerja (proletariat).
Kritikan marxisme semakin berkembang dengan pemikiran oleh ahli falsafah
lain. Misalnya, pandangan George Lukacs berkaitan sastera yang mampu mengangkat dirinya
daripada keterpecahan atau pengasingan itu disanggah oleh ahli Marxis yang lain. Golongan ini
juga lebih dikenali oleh ahli neo-Marxis. Antaranya ialah Theodor W Adorno, Max Horkheimer
dan Herbert Marcuse. Mereka juga dikaitkan dengan sesuatu yang longgar yang disebut sebagai
the Frankfurt School, Germany. Ahli -ahli di Frankfurt School ini merupakan ahli sosiologi dan
psikologi yang terkenal. Mereka telah melaksanakan banyak ideologi baru yang melahirkan
masyarakat sosiologi dan ekonomi. Menurut mereka, karya modenis yang menawarkan
pengamatan berkaitan realiti yang bersifat celaru dan terpecah ini lebih disenangi.
Perkembangan ini seterusnya dipengaruhi oleh dua orang tokoh penting iaitu ahli
falsafah dan pemikir Itali, Antonio Gramsci dan pemikir Perancis Louis Althusser. Menurut
Gramsci, kelas pemerintah dapat mengekalkan kuasanya ke atas kelas yang diperintah bukan
dengan cara yang langsung iaitu melalui paksaan atau kuasa politik, tetapi secara tidak langsung
atau dianggap halus. Gramsci telah menghuraikan tentang penguasaan kelas memerintah ke
atas masyarakat adalah melalui pelbagai praktis atau budaya sehingga kelas yang diperintah
yakin dan percaya bahawa mereka bukanlah diperintah, malah menerimanya dengan rela hati.
Kelas yang diperintah ini kemudiannya terus bekerjasama mengekalkan penguasaan ke atas diri
mereka sendiri tanpa mereka sedari. Jalinan amalan budaya dan politik ini merupakan kawalan
politik dan ekonomi yang juga dikenali sebagai hegemoni.
Pemikiran Gramsci ini juga dapat dilihat
dalam idea-idea yang diketengahkan oleh Louis Althusser, khususnya tentang jalinan antara
sastera dengan ideologi. Menurut Althusser, ideologi bukanlah ‘kesedaran palsu’ seperti yang
diperkatakan oleh Marx sebelum ini, iaitu yang diwujudkan oleh kapitalis demi kepentingan
mereka sendiri. Sebaliknya, bagi Althusser, ideologi merupakan salah satu cara manusia
menggambarkan dan menjelaskan tentang kehidupan yang dilaluinya.
Dalam tulisan Althusser iaitu ‘Ideology And Ideological State Apparatuses’ (1971), beliau
telah membezakan antara dua struktur yang dikenali sebagai Repressive State Apparatuses atau
RSA dan Idelogical State Apparatuses atau ISA. RSA merupakan struktur penindasan yang terdiri
daripada tentera, polis, mahkamah, penjara dan sebagainya. Ianya juga adalah bentuk kuasa
luaran yang digunakan untuk menguasai masyarakat dan bertujuan untuk mengekalkan kuasa.
ISA pula merupakan struktuk ideologi yang terdiri daripada gereja, sistem pendidikan, budaya
(sastera), keluarga dan sebagainya. Struktur ini tidak didatangkan daripada luar tetapi muncul
dari dalam masyarakat itu sendiri. Perbezaan antara kedua-dua bentuk struktur ini dapat dilihat
melalui ISA yang merupakan persetujuan daripada masyarakat dan tanpa wujudnya paksaan
daripada golongan pemerintah. Oleh yang demikian, ISA dianggap neutral dan lebih berkesan
serta disenangi oleh masyarakat. Jadi, ianya akan diteruskan oleh masyarakat dengan kerelaan
mereka sendiri.
Pemikiran yang sama juga dapat dikesan dalam penulisan Pierre Marcherey
iaitu ahli Marxis Perancis. Menurut beliau, sastera bukan sahaja menjelaskan ideologi sebagai
kehidupan, malah ia juga boleh dijadikan satu fiksyen. Dengan ini, kontradiksi-kontradiksi di
dalam ideologi itu dapat didedahkan. Bagi Marcherey, sesuatu teks itu boleh dibaca dengan dua
tahap. Tahap pertama, ia menggambarkan tentang realiti yang terlihat kemas dan wajar.
Manakala dalam tahap yang kedua, ianya terlindung dan terdapat lompong atau rekah dimana
rekah itu bermaksud perkara-perkara yang tersirat atau yang sengaja tidak diadakan tetapi
ketiadaanya adalah sangat bermakna. Melalui rekah ini juga, satu lagi bacaan berkaitan teks itu
dapat dihasilkan.
Pemikiran ini juga disenangi oleh pemikir Marxis dari Amerika Syarikat iaitu Fredric Jameson. Beliau telah mewujudkan konsep penting iaitu ‘ketidaksedaran politik’ atau political unconscious. Menurut Jameson, sastera merupakan satu bentuk wacana yang bersifat ideologikal dengan erti kata lain, sastera digunakan untuk membenamkan kebenaran sejarah. Namun, kebenaran yang cuba disembunyikan serta penindasan yang dilakukan dapat didedahkan melalui rekah-rekah yang wujud. Jameson menegaskan bahawa aktiviti kritikan dan pembacaan adalah sangat penting. Baginya, konteks sesebuah teks itu dikritik dan dibaca perlu dititikberatkan kerana perkara itulah yang menentukan makna teks dan bukanlah dari segi konteks teks itu dihasilkan. Jameson juga mengingatkan bahawa setiap golongan yang membaca dan mengkritik mestilah mempunyai sifat yang ideologikal dimana ia mampu membuat kebenarannya yang tersendiri dan disenangi. ‘Pengkritik’ itu juga harus peka dengan situasi atau cara yang digunakannya untuk mengkritik bagi memperakukan makna teks.
Ringkasnya, perkembangan kepada pemikiran Marxisme memperlihatkan idea yang
pelbagai dan meluas. Ini menunjukkan bahawa Marxisme bukanlah sesuatu yang bersifat
homogen. Namun, terdapat sesetengah idea yang mendasari pemikiran Marxisme berkaitan
masyarakat dan sejarah dan kaitannya dengan sastera. Kebanyakan ahli pemikir Marxis ini
melihat sastera sebagai ideologi yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat tertentu. Sastera
juga dilihat sebagai medan pertentangan. Walaupun pada awalnya teori Marxisme melihat
sastera sebagai cerminan dan gambaran realiti namun, pada akhirnya fokus dialihkan kepada
superstructure yang melihat tentang kebenaran, realiti dan makna serta cara bagaimana
menyampaikan kebenaran itu supaya dapat direlakan. Tegaslah, Marxisme ini menolak segala
dimensi transenden atau yang melampaui batas. Jadi, fungsi sastera adalah mendedahkan
ideologi kuasa yang dominan agar ianya dapat ditentang.
SEMOGA BERMANFAAT!
Ulasan
Catat Ulasan