Usaha Tangga Kejayaan !

Assalamualaikum dan hi semua. Semoga semuanya berada dalam lindungan Allah SWT. Disini bukanlah saya nak cerita panjang tentang kehidupan saya, namun ingin saya kongsikan serba sedikit kisah diri ini dari seorang yang pemalas untuk belajar sehingga berjaya melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti yang terkemuka di Malaysia. Fuh macam tak percaya!

Saya merupakan anak kedua dari 6 orang adik beradik. Mendapatkan pendidikan awal di Tabika Kemas Kuala Temonyong. Kemudian, saya meneruskan pengajian di peringkat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Temonyong. Disini banyak saya mecipta nama dan memori kerana saya merupakan pelajar yang sangat aktif dalam bidang sukan. Saya merupakan atlet larian dan lompatan. Setiap tahun bermula dari tahun 2008 lagi saya akan mewakili sekolah untuk acara balapan dan padang peringkat daerah Langkawi. Acara yang saya pertandingkan ialah larian 100m, 4x100, 4x400, dan 100m lari berpagar. Saya terlalu taaksub dengan sukan pada ketika itu sehingga saya langsung tidak berminat dengan bidang akademik. Fikiran saya hanyalah ingin mendapat pingat untuk setiap acara yang dipertandingkan. Hari-hari saya ke sekolah hanyalah untuk training, training dan training. Dari pagi sampailah ke petang , itu sajalah yang saya lakukan. Walhal, kawan-kawan di kelas masing-masing sibuk belajar untuk hadapi peperiksaan. Pernah juga pada waktu peperiksaan ketika saya di tahun 6, saya berada di stadium untuk bertanding acara larian sedangkan kawan-kawan sekelas semuanya  memerah otak untuk menjawab soalan peperiksaan di sekolah. Betapa saya tidak mementingkan pelajaran pada masa itu. Sampailah tiba masanya untuk menduduki UPSR, saya langsung tidak ada usaha belajar seperti kawan-kawan yang lain. Saya bangga dengan kawan-kawan yang mendapat keputusan cemerlang dan berjaya mengumpul A dalam setiap subjek. Namun, keputusan peperiksaan UPSR saya tidaklah seteruk mana pun. Kata orang bolehlah cukup-cukup makan. 

Setelah naik ke peringkat sekolah menengah, saya bersekolah di SMK Kedawang. Teringat pada hari pertama mendaftarkan diri di sekolah sebagai pelajar tingatan 1, sedih saya kerana tidak dapat sekelas dengan kawan-kawan yang lain. Yalah mereka semuanya pandai, jadi ditempatkan di kelas hadapan. Saya pula dicampakkan di kelas yang tercorot. Walau bagaimanapun, saya sering mendapat tempat pertama di dalam kelas itu. Bangga jugalah kerana akhirnya dapat tempat pertama walaupun di kelas belakang haha. Minat dalam sukan masih saya teruskan di sekolah ini. Saya mewakili sekolah dalam acara kegemaran saya iaitu lari berpagar. Masih lagi malas belajar kerana sibuk dengan berlatih di padang. Namun setelah naik ke tingkatan 2, saya mula mengimbangkan akademik dan kokurikulum. Saya dipindahkan ke kelas hadapan kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Bersyukur rasanya dapat kembali sekelas dengan kawan-kawan. 

Bila dah dapat sekelas dengan mereka, barulah timbul rasa semangat untuk belajar dek kerana kawan-kawan semuanya rajin belajar. Belajar tetap belajar namun, sukan tetap tidak tinggal sampailah saya sedar yang minat saya terhadap sukan tiba-tiba hilang. Kesedaran ini muncul pada ketika saya di tingkatan 4. Saya bercinta dengan seorang senior tingkatan 5, pelajar sains tulen.  Walaupun saya belajar subjek perakaunan, tetapi dia banyak membantu saya dalam subjek lain dan sering memberi semangat kepada saya untuk belajar. Alhamdulillah, makin hari makin baik keputusan peperiksaan yang saya terima. Semuanya berkat bantuan dia, guru-guru dan rakan-rakan sekelas. Sejak itulah, saya sudah mula kurang bermain sukan dan mula seronok dengan bidang akademik. Akhirnya, usaha saya membuahkan hasil. Saya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM iaitu saya mendapat 5A 3B 1C.

Gambar ketika saya menerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2018

Setelah habis SPM, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Uitm Merbok dalam jurusan diploma pengajian perbankan. Walaupun saya minat mengira, saya menolak tawaran tersebut kerana mahu menurut perintah ibu yang menyuruh saya menyambung di tingkatan 6 sahaja. Akhirnya, saya bersekolah di SMK Tunku Putra sebagai pelajar Tingkatan 6. Saya memilih jurusan sastera walhal saya langsung tiada asas dalam mata pelajaran tersebut. Namun, niat dihati hanya mahu mencuba benda baharu. Alhamdulillah, tidak salah saya memilih sastera sebagai bidang pengajian kerana saya sedar bahawa saya mempunyai minat yang mendalam terhadap sastera. Pernah satu ketika saya mendapat keputusan paling terbaik dalam subjek sastera di kalangan pelajar-pelajar tingkatan 6 sekolah saya. Ya Allah bersyukur dan gembira sangat pada masa itu. 

Pada semester 1 keputusan penilaian saya kurang baik dan tidak melepasi pngk 3.0, saya terpaksa mengulang beberepa kertas. Rasa membazir dan menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh. Namun, keputusan ulangan yang saya terima adalah lebih baik dari keputusan yang sebelumnya. Hilang rasa menyesal itu. Malah lebih kepada bersyukur dan percaya dengan perancangan Allah SWT. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya tamatkan pengajian di tingkatan 6 dengan keputusan cemerlang iaitu mendapat pngk 3.67. Saya juga menerima Anugerah A-Kawi iaitu Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi. Bersyukur ke hadrat ilahi kerana pada akhirnya dapat membanggakan ibu dan ayah dalam bidang akademik. Dengan kejayaan ini, saya dapat melanjutkan pengajian ke universiti yang saya impikan iaitu Universiti Putra Malaysia.

Gambar ketika saya menerima Anugerah A-Kawi

Disini ingin saya katakan, gagal sekali tidak bermakna kita akan gagal selamanya. Usahalah, percaya pada proses. InsyaAllah, usaha tidak akan mengkhianati hasil. Percayalah juga dengan perancangan Allah SWT kepada kita. Apa yang penting jangan lupa diri dan jangan lupa kepada pencipta kita. Susah mahupun senang, sentiasalah balik kepadaNya kerana pada akhirnya kita akan sedar dimana kita berpijak. Sekian cerita saya, Assalamualaikum. 

Ulasan